Jumaat, 4 Julai 2008

Utara: 108 guru terima anugerah khidmat cemerlang

LANGKAWI: Seramai 108 guru dan kakitangan sokongan Pejabat Pelajaran Daerah Langkawi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Auditorium Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) di sini, kelmarin.

Daripada jumlah itu, 43 penerima lelaki dan bakinya perempuan menerima anugerah berupa wang tunai RM1,000 dan sijil kerana berjaya menunjukkan kecemerlangan sepanjang perkhidmatan mereka tahun lalu.

Anugerah disampaikan Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pelajaran Kedah (JPK), Ahmad Zuhkhori Saad. Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Langkawi, Aziz Ahmad dan penolongnya, Razali Tahrim.

Turut menerima anugerah ialah bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad, Jauyah Ayup, 56, yang bersara wajib akhir Mei lalu dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, Teh Cheng Chye.

Jauyah berkata, anugerah yang diterima adalah pengiktirafan di atas tenaga dan masa yang digunakan untuk mendidik anak bangsa selama 35 tahun empat bulan ketika berkhidmat sebagai penjawat awam.

Katanya, penat lelah yang dicurahkan sepanjang tempoh itu lebih bermakna apabila pelajarnya memperoleh kejayaan dalam peperiksaan dan kini menjawat pelbagai jawatan di sektor awam dan swasta.

Sementara itu, Kaunselor Pelajar SMK Mahsuri, Siti Fatimah Hashim berkata, penghargaan diterima mendorongnya untuk terus memberi khidmat cemerlang dalam meningkatkan kualiti kerja.

"Saya bersyukur, gembira dan berterima kasih kerana sumbangan kepada sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri sepanjang tahun lalu, dihargai," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zukhori berkata, falsafah di sebalik penganugerahan itu ialah penerima diakui sebagai model dan mengekalkan kecemerlangan itu bagi membuktikan pemilihan mereka tepat.

Berita Harian Online: 3 Julai 2008

Tiada ulasan: