Isnin, 28 Julai 2008

Hukuman langgar peraturan sekolah ikut tahap kesalahan

BERAT atau ringan hukuman dikenakan terhadap pelajar yang melanggar peraturan sekolah bergantung kepada beberapa pertimbangan dan tahap kesalahan.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir, berkata pertimbangan itu merangkumi keseriusan dan kekerapan kesalahan dilakukan serta perwatakan dan latar belakang pelajar.

Beliau berkata, tindakan buang sekolah, gantung sekolah dan rotan dikategorikan sebagai hukuman berat, manakala dianggap ringan pula adalah penahanan, denda dan amaran.

“Pelajar bermasalah biasanya dirujuk kepada kaunselor sekolah. Jika tiada perubahan, kita beri amaran pertama, kedua dan ketiga. Selepas amaran ketiga, jika masih melakukan kesalahan, baru kita rotan. Ini diikuti dengan gantung sekolah dan akhir sekali, buang sekolah.

“Sebenarnya kebanyakan kes disiplin berjaya diselesaikan menerusi proses kaunseling dan amaran, hanya pelajar yang benar-benar ‘layak’ saja dikenakan hukuman rotan, kecuali perempuan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah pelajar dikenakan hukuman berat tahun lalu adalah 97,200 orang merangkumi buang sekolah (19,980), gantung sekolah (9,720) dan rotan (67,500).

Mengenai langkah pencegahan salah laku disiplin, Zulkifly menjelaskan ia dilaksanakan secara berterusan oleh Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid Kementerian Pelajaran yang diwujudkan sejak 2004.

“Antara langkah pencegahan utama ialah mewujudkan Pasukan Petugas Anti Ponteng Sekolah membabitkan jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah, Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

“Sistem Aduan Disiplin juga diwujudkan bagi memudahkan usaha mengenal pasti dan mengatasi masalah disiplin pelajar menerusi saluran seperti hotline, e-mel, faksmili, surat, akhbar serta laman web,” katanya.

Berita Harian Online: 28 Julai 2008

Tiada ulasan: