Isnin, 28 Julai 2008

Guru perlu fokus aspek keperibadian didik pelajar

GEORGETOWN: Pendidik disaran menekankan aspek keperibadian dan integriti dalam modul pengajaran mereka bagi melahirkan lebih ramai pelajar berkualiti.

Pengerusi Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Tan Sri Zaleha Ismail, berkata tugas pendidik bukan hanya mengajar, tetapi turut mendedahkan pelajar mengenai hala tuju dan matlamat hidup mereka.

“Pendedahan itu perlu sejak di sekolah lagi bagi memastikan mereka mengetahui apa yang hendak dilakukan apabila dewasa, sekali gus menentukan hal tuju golongan muda ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup forum Bicara Remaja Prihatin: ‘Remaja Tergoda, Maruah Ternoda’ anjuran LPPKN di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, semalam.

Beliau berkata, pada masa kini ramai pelajar tidak mengetahui hala tuju mereka kerana ia tidak didedahkan sejak awal lagi disebabkan pendidik hanya menekan aspek pelajaran tanpa menekankan aspek keperibadian.

“Kini kebanyakan guru hanya mengajar mengikut sukatan pelajaran saja kerana bagi mereka perlu menghabiskan sukatan berkenaan sehingga mengabaikan aspek penting itu,” katanya.

Selain itu, Zaleha berkata, peranan ibu bapa dan guru seharusnya digabungkan supaya mekanisme sesuai dapat dicapai bagi menangani masalah sosial di kalangan pelajar yang semakin membimbangkan.

“Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan oleh seorang guru mengenai pengakuan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang sudah ditiduri 10 lelaki.

“Itu menunjukkan satu masalah sosial yang serius, sekali gus menunjukkan kepincangan dalam sistem komunikasi antara guru, pelajar dan ibu bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata, komunikasi antara pelajar, guru dan ibu bapa adalah elemen penting yang boleh diguna pakai bagi menangani kedegilan dan masalah pelajar.

Berita Harian Online: 28 julai 2008

Tiada ulasan: