Jumaat, 25 Julai 2008

Beri penerangan PIPP di perhimpunan mingguan

KUALA TERENGGANU 23 Julai - Semua pengetua dan guru besar di seluruh negara diarah menerangkan konsep dan falsafah pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) kepada pelajar sewaktu perhimpunan mingguan sekolah masing-masing berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, pihak sekolah seharusnya mengambil sedikit masa untuk menerangkan konsep dan pelaksanaan PIPP setiap minggu menerusi perhimpunan mingguan.

Beliau memberitahu, sekiranya semua guru besar dan pengetua terbabit berbuat demikian, konsep dan falsafah PIPP akan dapat difahami dan dihayati oleh pelajar.

''Tiada gunanya PIPP diperkenalkan jika pelajar gagal menghayati sepenuhnya manakala guru pula gagal menerangkannya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menutup Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia Ke-14 dan Persidangan Perwakilan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Ke-26 di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pelajaran Terengganu, Arifin Embong dan Presiden Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Roslan Madun.

Mengulas lanjut Noor Rezan berkata, penerapan nilai PIPP oleh pelajar amat penting kerana ia menumpukan usaha memupuk semangat patriotik dan perpaduan di kalangan pelajar melalui pendidikan.

Beliau menambah, aspek perpaduan dan patriotik seharusnya diterapkan di sekolah kerana ia menjadi tapak awal setiap pelajar sebelum melangkah ke alam dewasa.

''Saya yakin jika semua ini dibuat, impian kerajaan untuk melahirkan bangsa yang bersatu dan maju akan menjadi kenyataan.

''Kementerian Pelajaran memperkenalkan beberapa program pelajar khususnya kepada generasi muda untuk membentuk mereka menjadi warga negara yang berketerampilan dan di sinilah peranan guru dan pengetua diperlukan," katanya.

Noor Rezan menegaskan, sebagai pemimpin atau golongan yang mengetuai sesebuah sekolah, mereka bukan sahaja perlu memberikan kepimpinan terbaik malah menjadi idola setiap pelajar.

Utusan Malaysia Online: 24 Julai 2008

Tiada ulasan: