Rabu, 2 Julai 2008

Bekas guru dipenjara 18 tahun

KUANTAN 30 Jun - Seorang bekas guru dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian se- orang bidan di Kampung Tanah Putih Lama dekat sini tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Abd. Halim Aman selepas Nurulmiza Abd. Hamid, 28, mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut dengan menyebabkan kematian terhadap Hasnah Mat di rumahnya antara pukul 11.10 malam, 21 Januari 2007 dan pukul 10 pagi, 22 Januari 2007.

Kes bekas guru itu yang dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Ketika fakta kes dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad memohon mahkamah mengambil faktor kepentingan awam dengan menjatuhkan hukuman maksimum memandangkan ia adalah satu kesalahan jenayah berat.

Peguam bela, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar bagaimanapun memohon hukuman diringankan memandangkan tertuduh telah insaf dan mempunyai penyakit kronik.

''Tertuduh menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis dan kini dirawat di Penjara Kajang, Selangor," katanya.

Ketika diminta mengemukakan rayuan oleh Abd. Halim, Nurulmiza meminta hukuman dikurangkan daripada penjara maksimum 20 tahun kepada tempoh yang lebih pendek bermula dari tarikh dia ditahan.

Tertuduh kemudian dibawa keluar kira-kira pukul 1 tengah hari untuk menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Menurut fakta kes yang dibacakan pihak pendakwa, Nurulmiza mengaku pergi ke rumah mangsa di Kampung Tanah Putih Lama dan membawa Hasnah ke rumahnya di B-4-4 Kuarters Guru Sekolah Kebangsaan Pandan di sini pada pukul 6.30 petang, 21 Januari 2007 semasa tertuduh mengandung lima bulan.

Mangsa bagaimanapun tidak pulang sehingga ditemui meninggal dunia di rumah tertuduh yang pintunya berkunci sejak 21 Januari 2007 dalam keadaan reput dan dibungkus dengan karpet selain terdapat kesan jerut di leher yang menjadi punca ke- matian dan disahkan meninggal dunia sejak lima hari sebelum mayatnya ditemui.

Berdasarkan fakta kes, Hasnah dijerut menggunakan kain tudung berwarna merah jambu milik mangsa yang dikemukakan sebagai salah satu daripada 23 barang kes.

Selain dibunuh, mangsa turut kehilangan barang kemas termasuk rantai leher dan rantai tangan yang ditemui di sebuah kedai pajak gadai di bandar Kuantan selepas polis membuat siasatan awal terhadap Nurulmiza yang ditahan di Tapah, Perak pada 26 Januari 2007.

Utusan Malaysia online: 1 Julai 2008

Tiada ulasan: