Khamis, 17 Julai 2008

'Ajar Matematik, Sains dalam BM'

GEORGETOWN: Kerajaan perlu mengembalikan pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik menggunakan bahasa Melayu bagi memartabatkan serta memperkasakannya sebagai bahasa dunia.

Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Emeritus Abdullah Hassan, berkata penggunaan bahasa Inggeris gagal menunjukkan kejayaan, sebaliknya merugikan orang Melayu.

Katanya, hasil kajian yang dijalankan sekumpulan pendidik mendapati 87.7 peratus murid Melayu tidak dapat menguasai bahasa Inggeris.

"Memahami sejarah dan kepentingan meletakkan bahasa Melayu di tempatnya adalah penting supaya semangat untuk menguasai bahasa asing, tidak akan sesekali merendahkan martabat bahasa sendiri yang menjadi asas perpaduan serta pembinaan jati diri rakyat negara ini.

"Sudah banyak negara berusaha untuk mendaulatkan bahasa asing, tetapi akhirnya gagal dengan bangsa yang diciplaknya," katanya ketika menyampaikan Syarahan Umum bertajuk `Bahasa Melayu di Persimpangan; Antara Jati Diri dan Rempuhan Globalisasi di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.

Abdullah memberi contoh negara Afrika yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar di sekolah, tidak dianggap negara maju.

Sebaliknya, katanya, negara yang mendaulatkan bahasa sendiri termasuk Jepun, Korea, Perancis, China dan Jerman, maju mencakupi pelbagai bidang termasuk sains dan matematik.

"Kerajaan perlu mendengar suara orang Melayu berhubung soal bahasa dalam pelajaran kerana ia menjadi hak mereka.

"Perubahan bahasa yang digunakan di dalam pendidikan secara tidak langsung akan merubah kelakuan dan jati diri sesuatu bangsa itu," katanya.

Berita Harian Online: 17 Julai 2008

Tiada ulasan: